KATA-KATA ALUAN
PENGERUSI BADAN KEBAJIKAN
SEKOLAH AGAMA TAMAN UNGKU TUN AMINAH
Pertama sekali bersyukur saya ke hadrat Allah kerana telah diberikan kesempatan dan peluang untuk saya menyampaikan sepatah dua kata di dalam ruangan ini.
Di kesempatan ini, saya terlebih dahulu ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung di dalam usaha menjayakan majlis Sambutan Maulidur Rasul, Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah bagi kali ke 20 pada tahun ni.
Hadirin hadirat sekalian, selaku peneraju pentadbiran Badan Kebajikan Sekolah, kami sangat-sangat mengalu-alukan sokongan, bantuan dan buah fikiran daripada tuan/ puan di dalam untuk merealisasikan segala perancangan yang telah disusun atur untuk kemudahan pembelajaran serta keselesaan dan keselamatan persekitaran sekolah kepada anak-anak didik kita semua sebaik mungkin yang boleh.
Justeru itu, kami berharap dan berdoa dari masa ke semasa hubungan dua hala antara guru serta ahli jawatankuasa badan kebajikan dan ibu bapa dapat dipertingkatkan bagi memainkan peranan yang amat penting di dalam usaha kita untuk memertabatkan sistem pendidikan Sekolah Agama di seluruh Negeri Johor. Dengan terjalinnya sistem rangkaian kerja yang berpadu ini kita akan dapat memastikan kesinambungan akhlak serta budi pekerti mulia pelajar yang disemai sejak awal bayi akan menghasilkan seorang insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Di akhir bicara, saya dengan rasa rendah diri menghulurkan tangan mengucapkan salam ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga guru, ahli jawatankuasa badan kebajikan, ibu-ibu, bapa-bapa serta pelajar sekalian yang begitu memberikan sokongan sepenuh selama tempoh perkhidmatan saya sebagai pengerusi Badan Kebajikan. Tanpa tuan/ puan semua, saya tidak akan mampu menjalankan tugasan ini. Segala yang baik itu datangnya dari Allah jua dan segala yang buruk itu adalah dari kelemahan saya sendiri.
Sekian, Terima Kasih.
ROSLAN BIN SEDEK
PENGERUSI,
BADAN KEBAJIKAN SEKOLAH AGAMA TAMAN UNGKU TUN AMINAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan