Sejarah Sekolah

     Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah yang terletak di Jalan Perkasa 1 berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Tun Aminah ( 2 ) pada hari ini telah siap dibina pada tahun 1987. 
      Bangunan ini telah beroperasi pada 10 Januari 1988 yang ditadbir oleh dua pentadbiran, iaitu Ustazah Shamsiah Binti Jaafar pada sebelah pagi manakala sebelah petang ditadbir oleh Ustaz Hj. Ahmad Murad Bin Mahidon. Pada awal pembukaan Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah telah menerima pendaftaran murid-murid baru dan murid-murid dari sekolah lain seramai 147 orang murid sesi pagi dan 365 orang murid sesi petang. Jumlah keseluruhannya 512 orang murid dengan  4 orang tenaga pengajar, bagi sesi pagi hanya darjah 1 hingga darjah 4 manakala sesi petangt dari darjah 1 hingga darjah 5.
     Pada 25 Mac 1988, penbubuhan Penaja Badan Kebajikan Sekolah bagi sekolah ini telah dipengerusikan oleh En. Ghazali Bin Hj. Kamis bagi tujuan kebajikan dan kemajuan murid-murid terjamin di sekolah ini. Di samping itu, penubuhan ini berperanan sebagai Badan Kebajikan sementara bagi mengendalikan mesyuarat penubuhan.
     Pada 30 Mac 1988, pihak sekolah telah menghantar 8 orang wakil ke Perujian Al-Quran murid Sekolah Agama Johor Bahru di Sekolah Agama Kampung Kastam, Johor Bahru. 2 orang wakil sekolah telah mendapat kemenangan iaitu, adik Ifni Fahmi Bin Hj. Ahmad mendapat Johan bagi Perujian Tafsir Al-Quran dan adik Hafizan Binti Hassan mendapat Naib Johan bagi Perujian Seni Khat Kecil. Ini adalah kejayaan pertama bagi sekolah ini kerana wakil sekoplah kami telah dihantar menjadi wakil ke peringkat Daerah Johor Bahru yang diadakan pada 17 Julai 1988 di Segamat.
     Seterusnya pada tahun 1993, SATUTA sekali lagi melakar kejayaan di peringkat Negeri iaitu Mohamad Faisal Akhbar Bin Jamari mendapat Johan bagi Perujian Al-Quran lelaki besar, manakala pada tahun 1994, menjadi Naib Johan dalam Tafsir Ayat yang diwakili oleh Nur Asyikin Binti Yusof. 
     Pada 1 Jun 1988, Perasmian Mesyuarat Agung Kali Pertama Badan Kebajikan Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah telah diadakan di sekolah ini yang dirasmikan oleh YB Dato' Hj. Mohamed Bin Hj. rahmat SPMJ, SSIJ, SIMP, DPMS, PNBS, KMN, BSI, Menteri Penerangan Malaysia, merangkap Ketua Bahagian UMNO ( Baru ) Kawasan Pulai, Johor.
     Pihak sekolah telah melaksanakan kelas KAFA mulai tahun 1992 di sekolah ini dan beberapa penempatan di sekitar sekolah ini antaranya, Surau Bandar Selesa Jaya, Surau Taman Sri Skudai Baru dan Surau Taman Damai Jaya.
     Pada tahun 1995, bilangan murid sekolah amat mendadak, seramai 856 orang murid lelaki dan 871 orang murid perempuan, jumlahnya 1,727 secara keseluruhannya dengan 17 orang tenaga pengajar. Seramai 390 orang murid telah mengikuti kelas KAFA pada tahun tersebut. oleh kerana bilangan pelajar yang amat padat dan bilangan bilik kelas yang tidak mencukupi untuk mengikuti kelas KAFA pada tahun 1995, maka pihak Badan Kebajikan dan guru-guru telah mengambil alternatif untuk mengadakan kelas KAFA pada waktu malam. Seramai 6 orang guru menjadi tenaga pengajar dan 163 orang murid memasuki kelas KAFA pada mulai jam 7.00 petang hingga 9.00 malam.
     Kejayaan Sekolah Agama Taman Ungku Tun Aminah hingga kini masih diingati dan menjadi sebuah nilai sejarah yang amat dikagumi. Kerjasama semua pihak terutamanya guru-guru, ibu bapa dan murid telah membawa sekolah ini ke peringkat yang tinggi selaras dengan visi sekolah ini " MURID CEMERLANG SEKOLAH GEMILANG".

Tiada ulasan:

MARI SEMBANG-SEMBANG